GAMBAR yang dimuat naik ke Twitter KKM. FOTO Twitter KKM
GAMBAR yang dimuat naik ke Twitter KKM. FOTO Twitter KKM
BERNAMA

GAMBAR sebiji telur dimuat naik Kementerian Kesihatan di Facebook dan Twitter bagi menyatakan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dicatatkan di Malaysia semalam, mencetuskan satu 'tarikan' dalam media sosial.

Ramai yang menyatakan rasa syukur mereka dengan berita tersebut, di samping memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha berterusan mereka tanpa mengenal penat lelah, dalam memerangani pandemik Covid-19.

Pengguna Twitter @bblogasm memberikan komen; "I just know yall (you all) had this in the drafts", manakala @hadi_nor menyatakan "Eggcelent!".

Semalam, Malaysia sekali lagi mencatatkan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dengan hanya tiga kes baru dilaporkan, kesemuanya kes import membabitkan rakyat Malaysia yang dijangkiti ketika berada di luar negara.

Pada 1 Julai lalu, Malaysia mencatatkan rekod dengan satu kes baru dan jangkitan tempatan sifar, yang menjadi jumlah kes jangkitan baru terendah sejak 18 Mac.

Bagaimanapun, sehingga vaksin untuk virus ditemui, adalah penting bagi rakyat Malaysia terus berhati-hati dan mengambil tindakan pencegahan dalam membebaskan negara daripada penyakit merbahaya ini.

Seperti yang pernah dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia memerlukan 28 hari jangkitan sifar, sebelum boleh diisytiharkan bebas daripada pandemik itu.

Sementara itu, dengan situasi semasa Covid-19, kerajaan telah membenarkan empat lagi kategori pelajar pusat pengajian tinggi untuk pulang ke kampus secara berperingkat bermula bulan ini dan pengambilan penuh pelajar pada Oktober.

Bagaimanapun, pelajar diminta untuk terus mengamalkan jarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri di kampus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:10 AM