Ariffin (dua kanan) melakukan gimik pelepasan sempena Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di Jeti Pelancongan Marang. Foto Ghazali Kori
Ariffin (dua kanan) melakukan gimik pelepasan sempena Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di Jeti Pelancongan Marang. Foto Ghazali Kori
Zaid Salim

PENGANJURAN Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 mampu menarik lebih ramai pelancong untuk masuk ke negeri ini terutama bagi mereka yang meminati aktiviti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, penganjuran program tahunan itu kembali memeriahkan sektor pelancongan negeri selepas kerajaan mengumumkan pengecualian menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 10 Jun lalu.

"Program ini sepatutnya diadakan pada April lalu namun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Oergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penukaran pandemik Covid-19," katanya ketika sidang media selepas majlis pelepasan peserta program berkenaan di Jeti Pelancongan Marang hari ini.

Seramai 160 peserta membabitkan 16 buah bot terdiri daripada wakil setiap daerah di negeri itu serta media daripada pelbagai agensi termasuk pengamal media sosial.

Menurutnya, selaras dengan saranan kerajaan laitu menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik, penganjuran program itu dilihat mampu memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri.

"Pada tahun 2019, candat sotong mendapat pengiktirafan daripada Majlis Pelancongan Malaysia sebagai Program Pelancongan Terbaik sekali gus memberi rangsangan terhadap penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel dan resort, peniaga dan ramai lagi yang akan menerima manfaat ekonomi hasil daripada aktiviti pelancongan terbabit, " katanya.

Menurutnya, pelbagai pengisian menarik yang dianjurkan sempena dengan program berkenaan antaranya 'fam trip' yang memberi pendedahan dan pengenalan kepada media terutama daripada luar Terengganu untuk mengenali dengan lebih dekat mengenal produk pelancongan yang ada di negeri itu.

Katanya, peminat aktiviti itu juga perlu melalui suasana baru apabila aktiviti diadakan dalam suasana normal baharu dengan pelaksanaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai garis panduan.

"Orang ramai dan pelancong diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19 yang belum berakhir.

"Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan telah mengedarkan risalah dan buku berkaitan SOP dan semua pihak wajib mematuhi arahan tersebut.

"Sebagai contoh, program candat sotong kita hadkan hanya 10 orang dalam satu bot walaupun ia sebenarnya boleh memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa.

"Jika arahan ini tidak dipatuhi, kita akan ambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit bagi tujuan menjaga keselamatan semua orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 10:54 PM