KEADAAN bot yang terbalik dalam kejadian perairan Kemasin kini diletakan di Muara Kemasin bagi memudahkan percarian mangsa yang hilang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN bot yang terbalik dalam kejadian perairan Kemasin kini diletakan di Muara Kemasin bagi memudahkan percarian mangsa yang hilang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


PEMILIK bot yang terbalik dalam kejadian ribut di perairan Kemasin, Bachok, kelmarin mempunyai lesen vessel yang sah.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, semakan mendapati bot milik tekong Azhar Mat Nisah, 48, mempunyai lesen kelas A yang sah dan akan tamat tempoh pada Jun 2021.

Katanya, ketika ini aktiviti perikanan termasuk memancing dan mencandat sotong juga dibenarkan.

"Secara dasarnya waktu ini tak ada masalah untuk turun ke laut kerana di kawasan Pantai Timur musim keadaan laut bergelora adalah antara November hingga Disember.

"Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, kerana kalau diikutkan keadaan laut seperti biasa, tiada masalah untuk nelayan menangkap ikan dan sememangnya dari April ke Ogos adalah waktu ikan banyak dan musim candat sotong," katanya ketika sidang media di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, hari ini.

Katanya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti laut termasuk mencandat sotong sudah dibenarkan.

"Dari segi penggunaan bot pula, kita sudah periksa bot berkenaan yang mana pemiliknya ada lesen sah yang diperbaharui bulan ini," katanya.

Katanya, setiap pemilik bot perlu mendapat lesen daripada Jabatan Laut untuk membawa pemancing atau orang awam bagi aktiviti memancing mahupun mencandat sotong.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin turut meluangkan masa meninjau perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kawasan jeti itu turut dikunjungi Yayasan Noor Al Syakur yang turut memberi sumbangan daripada Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isteri, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sumbangan sebanyak RM1,000 dan RM500 diberikan kepada mangsa bot terbalik melalui Setiausaha yayasan, Mohd Affendi Mohd Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 4:33 PM