SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas di kawasan perairan Kampung Selamat, dekat sini, 8.30 malam tadi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas di kawasan perairan Kampung Selamat, dekat sini, 8.30 malam tadi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
Abdul Rahemang Taiming


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 500 karton rokok bernilai RM94,980 di perairan Kampung Selamat di sini, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot ronda Bangi 11 yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan jam 8.30 malam.

"Bot terbabit kemudiannya memecut ke kawasan perkampungan atas air Kampung Selamat, iaitu 0.7 batu nautika dari barat Pulau Bum Bum.

"Bagaimanapun, juragan terjun ke laut sebelum berenang dan menghilangkan diri di kawasan perkampungan itu," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Norrimi, rokok terbabit cuba diseludup masuk dari Filipina malah ada kemungkinan kegiatan ini didalangi individu tertentu atau sindiket sama yang pernah ditumpaskan sebelum ini.

Jika berlaku kecemasan di laut atau kegiatan menyalahi undang-undang, orang ramai diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:48 PM