Muhaamad Hafis Nawawi


MESYUARAT Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meminta harga tiket penerbangan kembali semula kepada harga asal seperti sebelum PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP mengambil maklum isu harga tiket penerbangan yang tinggi terutamanya bagi penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, peringkat awal harga tinggi kerana arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan kapisiti penuh kerana menjaga jarak sosial di mana maksimum boleh diisi 66 peratus sahaja.

"Oleh kerana syarikat penerbangan telah dibenarkan beroperasi dengan jumlah penumpang berkapasiti penuh, Mesyuarat Khas berpendapat bahawa harga tiket penerbangan perlu kembali semula kepada harga asal seperti sebelum PKP.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) telah diminta untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian," katanya pada sidang media Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga meminta Suruhanjaya Penerbangan berbincang dengan syarikat penerbangan supaya memberi harga tiket istimewa kepada pelajar, guru sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kerana sekolah akan dibuka semula dan begitu juga dengan IPT.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 3:57 PM