Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 1,215 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 215 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong tikus sejak 1 Mei hingga semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan 80 individu disyaki penyeludup serta 39 kapal dalam Op Benteng membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem).

Menurutnya, PDRM juga membuat 68 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dan memeriksa 42,336 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.

"PDRM berjaya menahan sembilan warga negara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk Pati," katanya pada sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

ANTARA pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara melalui lorong tikus. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara melalui lorong tikus. FOTO Ihsan PDRM

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 3:16 PM