GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

DUA individu melakukan aktiviti refleksologi atau urut adalah antara yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat dua individu direman dan dua lagi dikenakan kompaun atas kesalahan PKPP.

Menurutnya, satu individu ditahan melakukan aktiviti di dalam kelab malam manakala seorang lagi melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Secara keseluruhan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM sudah membuat 65,937 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 3,774 Pasukan Pematuhan sudah membuat pemantauan dan membabitkan seramai 16,568 anggota," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan, hari ini, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-100 dan hari ke-16 PKPP.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Operasi Benteng yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) terus mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Ini bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19. Semalam, PDRM sudah membuat 67 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara.

"Daripada 67 SJR itu, sebanyak 45,526 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM berjaya menahan seorang warga negara asing di SJR Operasi Benteng atas kesalahan imigresen," katanya.

Beliau berkata, kerajaan giat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Justeru, katanya, semua agensi penguatkuasa berkaitan akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 5:43 PM