SEKOLAH akan dibuka sepenuhnya pada pertengahan bulan ini mendapat reaksi pelbagai daripada ibu bapa dan pelajar. FOTO Arkib NSTP
SEKOLAH akan dibuka sepenuhnya pada pertengahan bulan ini mendapat reaksi pelbagai daripada ibu bapa dan pelajar. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

PENGUMUMAN sekolah akan dibuka sepenuhnya pada pertengahan bulan ini mendapat reaksi pelbagai daripada ibu bapa dan pelajar.

Perunding Kewangan, Siti Haidah Tapah, 49, berkata dia bersetuju dengan pengumuman itu kerana anak sudah terlalu lama di rumah.

"Ini bagus untuk pendidikan anak kerana saya dapati pembelajaran secara dalam talian tidak begitu membantu mereka.

"Lagipun, anak saya sekarang berada di sekolah menengah dan mereka sudah pasti dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP)," katanya yang mempunyai anak di tingkatan satu dan lima.

Menurutnya, namun dia dan beberapa ibu bapa lain terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli pakaian sekolah baharu anak berikutan tidak lagi muat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Nurul Diyanah Muhammad Miftahuddin, 15, berkata dia teruja untuk kembali ke sekolah.

"Saya tidak sabar untuk berjumpa semula dengan rakan dan guru sekolah. Lagipun sudah lama kami bercuti.

"Saya akan mengikuti SOP yang ditetapkan pihak sekolah," katanya.

Manakala bagi Muhammad Baihaqi Sarifudin, 14, yang bersekolah di SMK Agama Pagoh, Muar, Johor turut melahirkan rasa terujanya untuk kembali ke asrama.

"Saya gembira dengan pengumuman ini sebab memang dah lama nak kembali ke sekolah.

"Saya rindu dengan rutin sibuk di asrama kerana saya lebih suka belajar secara bersemuka berbanding dalam talian sebab boleh terus bertanya dengan guru jika tidak faham," katanya.

Sementara itu, usahawan, Rohana Rusdi, 41 berkata dia tidak berapa setuju sekolah dibuka kerana masih tidak yakin dengan keadaan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Kalau boleh biarlah kerajaan tangguh lagi untuk kemasukan sekolah, lebih-lebih lagi anak saya seorang berada di tadika dan seorang lagi tahun tiga.

"Tetapi saya mula buat persiapan dan beri penerangan kepada anak mengenai SOP perlu diikuti mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 6:22 PM