592 biji pil kuda dirampas APMM Zon Maritim Kuala Perlis selepas cuba diseludup masuk dari Thailand menggunakan sebuah bot kayu di perairan Kuala Perlis. FOTO Ihsan APMM Kuala Perlis
592 biji pil kuda dirampas APMM Zon Maritim Kuala Perlis selepas cuba diseludup masuk dari Thailand menggunakan sebuah bot kayu di perairan Kuala Perlis. FOTO Ihsan APMM Kuala Perlis
Aizat Sharif

Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sejumlah 592 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM15,000 dalam bot kayu dipercayai cuba dibawa masuk ke negara ini di perairan Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, serbuan dilakukan pada 1.30 pagi kira-kira 0.1 batu nautika dari barat pantai Kuala Perlis.

Menurutnya, pihaknya yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot kayu dinaiki dua lelaki iaitu tekong dan kru disyaki warga Thailand.

"Kedua-duanya dikesan berada dalam keadaan mencurigakan selepas bot mereka memasuki perairan Kuala Perlis sekitar 12.05 tengah malam.

"Bot peronda APMM berjaya memintas bot kayu terbabit yang cuba menukar haluan dan memecut laju ke arah kawasan hutan paya bakau berhampiran.

"Pada masa sama, tekong dan kru bot bertindak nekad terjun ke laut dan berenang melarikan diri," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan tiga peket kecil plastik berwarna hitam disyaki pil kuda yang disembunyikan dalam bot berkenaan yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

"Keseluruhan pil kuda yang dirampas berjumlah 592 biji dengan berat 65 gram dan dianggarkan bernilai sekitar RM 15,000," katanya.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:58 PM