DATUK Seri Dr Ronald Kiandee. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee. FOTO arkib NSTP
SamadiAhmad


Putrajaya: Pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dengan kerjasama dengan 11 syarikat peneraju bakal memberi peluang kepada sektor swasta untuk menerajui industri padi dan beras negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program fasa pertama secara berperingkat itu akan diadakan menerusi kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak dan sewaan membabitkan kawasan penanaman padi dengan sasaran berkeluasan 150,000 hektar semusim.

"Kerjasama itu juga diharap menyuntik semangat baharu melalui pendekatan memanfaatkan sumber modal pembiayaan swasta semaksimum mungkin.

"Program Smart SBB turut menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa 3.5 tan metrik pada 2019 kepada tujuh tan metrik dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Smart SBB antara kerajaan Malaysia dan 11 syarikat peneraju, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri II Datuk Abdullah Mat Nawi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Kiandee berkata, pembabitan pelaburan syarikat-syarikat peneraju secara langsung akan mengurangkan tanggungan kewangan kerajaan dari segi input pertanian bersubsidi dalam tempoh jangka panjang.

Menurutnya, ia turut memberikan pendekatan baharu dalam industri melalui konsep pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah dan pertanian pintar.

Smart SBB adalah inisiatif kerajaan bagi menangani isu sekuriti makanan negara dan kadar tahap sara diri beras negara yang ketika ini berada paras sekitar 70 peratus, menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import dari Vietnam, Thailand, Kemboja, India dan Pakistan.

Program itu dijangka meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 kepada sehingga RM7,900 setahun.

Manakala pendapatan bersih per hektar dalam setahun dijangka meningkat dari RM5,400 sehingga RM15,600 sekiranya purata produktiviti per hektar meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada sasaran tujuh tan metrik.

Kiandee berkata, projek Smart SBB akan dilaksanakan di jelapang padi sedia ada, berkonsepkan pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah dan pertanian pintar bagi mengurangkan kos kerajaan.

"Program ini antara inisiatif kerajaan dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan sekali gus dapat mengoptimunkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman serta pengeluaran.

"Pada masa sama, konsep ini juga dapat menghapuskan dan mengurangkan peranan orang tengah yang sentiasa mengenakan caj perkhidmatan tinggi kepada pesawah bagi sewaan mesin dan jentera tanaman dan tuaian, racun perosak serangga dan pengangkutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:29 PM