Hasil tuaian padi di SMART SBB BERNAS di Sungai Batu Pahat.
Hasil tuaian padi di SMART SBB BERNAS di Sungai Batu Pahat.

Kuala Lumpur: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Kampung Sungai Batu Pahat, Perlis berpotensi meningkatkan hasil dan mutu padi keluaran tempatan serta memberi manfaat kepada lebih 30 pesawah yang terbabit.

Seiring dengan matlamat MAFI bagi meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), program SMART SBB BERNAS sudah digerakkan sejak bulan April lalu.

Ia membabitkan kawasan penanaman padi luar jelapang seluas 49 hektar yang diusahakan dalam Musim 2/2020 dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong, Perlis dan Lembaga Pertubuhan Peladang Perlis.

Penyelia Program SMART SBB Bernas Sungai Batu Pahat, Nordin Salleh, 65, berkata inisiatif itu banyak mendatangkan manfaat kepada peserta.

Menurutnya, program itu bukan sahaja membantu dari aspek penyelarasan sistem pengurusan ladang secara berkelompok yang ternyata lebih efisyen, malah turut membuka ruang ke arah pembangunan infrastruktur asas seperti sistem saliran air yang sering menjadi kekangan kepada pesawah khususnya di kawasan luar jelapang seperti di Sungai Batu Pahat.

"Program ini turut membantu pesawah untuk mengusahakan sawah mereka secara berpasukan dan lebih sistematik.

"Impaknya dapat dilihat apabila penggunaan input pertanian seperti baja, racun dan sebagainya dapat dioptimumkan dan pembaziran dielakkan.

"Ia secara keseluruhannya turut mengurangkan kos operasi pengurusan ladang berbanding ketika mereka mengusahakan sawah secara individu," katanya.

Nordin berkata, pesawah yang menyertai program ini turut didedahkan kepada amalan pertanian terancang bagi membentuk disiplin kerja lebih berkesan dan produktif.

"Bernas turut membimbing mereka menerusi penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman, mengelakkan pembaziran input pertanian dan menghasilkan padi yang lebih bermutu.

"Saya melihat program SMART SBB sebagai satu peluang kerjasama strategik yang menguntungkan pesawah selain menjadikan mereka sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan sektor padi dan beras di negara ini," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengusahakan sawah.

Peserta program, Zulkefli Hussein, 53, berkata program ini memberikan jaminan pendapatan dari penjualan hasil padi mereka.

"Penanaman padi sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko luar jangka terutamanya cuaca yang tidak menentu.

"Bagaimanapun, Bernas menjamin membeli hasil tuaian kami dalam sebarang situasi dan ini memberikan satu kelegaan kepada kami.

"Kami juga hanya perlu memberikan tumpuan kepada penjagaan sawah dengan baik. Alhamdulillah walaupun ini adalah fasa pertama projek, kami sudah dapat melihat peningkatan dari segi hasil dan kualiti padi," katanya.

Sementara itu, pesawah, Madzlan Nadzar, 61, berkata SMART SBB juga memperkenalkan penggunaan teknologi terkini kepada peserta program antaranya teknologi dron.

"Sebelum ini, kami melakukan kerja membaja dan meracun secara manual yang memerlukan penggunaan masa dan tenaga yang banyak.

"Kini, penggunaan teknologi dron memberikan hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat dan tanpa menggunakan tenaga seperti dahulu.

"Kerja kami menjadi lebih mudah dan kami turut mempunyai masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain," katanya.

Sebagai salah satu syarikat peneraju SMART SBB, Bernas sentiasa memberi sokongan kepada pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi membimbing mereka dalam selok-belok pengurusan ladang yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:07 PM