Siti Rohana Idris

POLIS Kelantan merampas 5,000 biji pil kuda dan 52 gram syabu dianggarkan bernilai RM70,200 dalam beberapa rampasan kelmarin dan malam tadi di sekitar Kota Bharu.

Rampasan dilakukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata empat lelaki berusia 18 hingga 24 tahun yang dipercayai pengedar dadah ditahan.

Kes pertama membabitkan seorang remaja berusia 18 tahun ditahan jam 2 petang kelmarin di tepi jalan di Kampung Panjang Binjai, selepas dilihat mencurigakan.

"Sebaik dihampiri dan anggota memperkenalkan diri, remaja itu cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan namun dia berjaya ditahan.

"Pemeriksaan di tubuh suspek menjumpai satu bungkusan plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 52 gram di poket hadapan seluarnya dan ia dianggarkan bernilai RM5,200," katanya ketika sidang media di IPD Kota Bharu, hari ini.

ABDUL Rahim (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 5,000 biji pil kuda dan 52 gram syabu dengan anggaran nilai RM70,200 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu ketika sidang media di IPD Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Rahim (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 5,000 biji pil kuda dan 52 gram syabu dengan anggaran nilai RM70,200 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu ketika sidang media di IPD Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pada 5.30 petang hari sama, tangkapan dua penganggur berusia 18 dan 24 tahun dibuat di Kampung Demit, Kubang Kerian yang ketika itu sedang menunggu pelanggan di atas motosikal.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan plastik merah jambu di tangan pembonceng iaitu remaja berusia 18 tahun yang mengandungi 15 paket plastik biru yang terdapat 3,000 biji pil kuda bernilai RM45,000.

Dalam serbuan terbaharu pada jam 7.30 malam tadi di sebuah bangsal di Kampung Panchor, Abdul Rahim berkata anggotanya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Hasil pemeriksaan dibuat menemui satu plastik pembungkus lampin pakai buang yang berikat getah dan mengandungi 10 paket plastik biru yang terdapat sejumlah pil berwarna kemerahan dan kehijauan dipercayai pil kuda.

"Jumlah kesemua pil kuda itu sebanyak 2,000 biji dengan anggaran nilai RM20,000," katanya.

Abdul Rahim berkata hasil ujian saringan yang dibuat, suspek berusia 24 tahun positif Methampethamine dan memiliki rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah manakala tiga lagi negatif.

Beliau berkata bekalan semua dadah itu dipercayai diperoleh dari Thailand yang diseludup melalui pangkalan haram dan untuk jualan sekitar Kota Bharu.

"Semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan hari ini sehingga 23 dan 24 Jun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 5:40 PM