Syaherah Mustafa


TIGA beranak termasuk remaja berusia 15 tahun ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai RM31,080 ketika serbuan di rumahnya di Lorong Sekolah Arab, Jalan Hospital, di Kota Bharu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, remaja terbabit ditangkap bersama ibu dan bapanya, masing-masing berusia 34 dan 32 tahun, selain hasil saringan air kencing menunjukkan kesemua tiga beranak terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, dalam serbuan jam 10.45 malam itu, anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu, menangkap remaja itu di hadapan rumahnya sebelum menemui ibu bapanya dalam sebuah bilik di premis itu.

"Pemeriksaan di bilik itu menemui beg berwarna coklat berisi satu plastik cerah yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu serta pil kuda.

"Polis kemudian melakukan pemeriksaan terhadap kereta Perodua Axia milik suspek dan menemui satu lagi beg kecil yang mengandungi empat paket plastik berisi syabu dan tiga plastik biru (mengandungi) pil kuda ," katanya dalam sidang media di IPD Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, polis merampas 142 gram syabu dan 662 biji pil kuda selain menahan remaja itu selama lima hari.

"Manakala, ibu bapanya ditahan selama tujuh hari bermula 30 Mei. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Hasil soal siasat, remaja terbabit tidak bersekolah dan mereka sekeluarga dipercayai mengedar dadah sejak lebih sebulan lalu.

"Semakan juga mendapati bapa remaja itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya memberitahu, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran, Thailand untuk pasaran sekitar Kota Bharu.

PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 6:24 PM