Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Nurul Hidayah Bahaudin


PENGEMBARA yang pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah diminta segera menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika ada gejala Covid-19 seperti demam, batuk, kelesuan dan sukar bernafas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan segera ke rumah individu berkenaan untuk melakukan ujian calitan tekak atau swab test.

"Secara asasnya memang kita lakukan ujian itu pada hari pertama seseorang individu itu tiba di negara ini dan hari ke-13 tempoh kuarantin, tetapi jika antara tempoh hari pertama hingga hari ke-14 hari kuarantin mereka mengalami gejala demam atau sebagainya, kita akan lakukan ujian Covid-19.

"Segera hubungi dan kami akan datang. Tak semestinya hari ke-13 baru kita lakukan ujian calitan tekak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham memberikan reaksi itu menjawab soalan adakah perlu keluarga individu pulang dari luar negara turut jalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, sekiranya individu berkenaan positif Covid-19, dia akan diasingkan, dikuarantin dan dirawat di hospital, manakala semua keluarganya di dalam rumah yang sama turut perlu melaksanakan ujian calitan tekak.

"Di sesetengah negara, walaupun positif dengan gejala ringan atau tanpa gejala, mereka boleh dirawat di rumah,

"Namun amalan di Malaysia, sesiapa yang didapati positif akan menjalani rawatan dan kuarantin di hospital walaupun dia tiada simptom," katanya.

Persoalan sama ada seseorang individu yang menjalani kuarantin di rumah secara tidak sengaja mendedahkan diri kepada keluarga, Dr Noor Hisham berkata, individu dalam tempoh kuarantin perlu jujur.

"Mereka perlu jujur dan berdisiplin untuk melakukan langkah pencegahan penularan virus Covid-19 khususnya dalam tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah," katanya.

Menegaskan sekali lagi, katanya, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), individu itu perlu kekal berada di dalam rumah selain mengasingkan diri daripada ahli keluarga lain sepanjang tempoh kuarantin.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 7:01 PM