Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Individu yang mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memasuki Sabah, Sarawak dan Labuan perlu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum melakukan perjalanan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya mereka yang menunjukkan keputusan ujian calitan negatif dan tidak bergejala sahaja dibenarkan memasuki negeri itu.

Bagaimanapun katanya, mereka yang memasuki Sarawak sahaja perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba di negeri itu.

"Bagi rakyat Sarawak, kos ujian calitan dan kuarantin akan ditanggung oleh kerajaan negeri manakala bukan rakyat Sarawak, kos adalah atas tanggungan sendiri.

"Bagi pergerakan dari Sarawak ke Sabah dan Labuan pula, perlu melakukan ujian calitan dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas.

"Manakala pergerakan keluar dari Sabah, Labuan dan Sarawak ke Semenanjung tidak perlu menjalani ujian calitan sebelum berlepas," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Beliau berkata, status larangan merentas daerah masih dikekalkan di Sarawak manakala Sabah dimansuhkan mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:40 PM