Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Shafie Abas (dua dari kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan asas kepada Penghulu masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Rual, Bidin Daun (kiri) sambil diperhatikan Hafiz  (kanan) ditemui di Kampung Tabiran, Sungai Rual. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Shafie Abas (dua dari kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan asas kepada Penghulu masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Rual, Bidin Daun (kiri) sambil diperhatikan Hafiz (kanan) ditemui di Kampung Tabiran, Sungai Rual. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Siti Rohana Idris


BANYAK pengusaha pusat peranginan terpaksa gulung tikar berikutan wabak Covid-19 yang memberi impak teruk kepada industri pelancongan.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazim berkata sudah ramai pemain industri pelancongan yang 'kecundang' dalam berdepan dengan impak wabak penyakit terbabit.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha ini adalah mereka yang sedia ada berdepan dengan masalah dan semakin runcing apabila wabak melanda.

"Apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sektor pelancongan terjejas teruk malah kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 juga terus dibatalkan.

"Situasi di luar jangkaan ini menyebabkan majoriti pemain industri pelancongan terkesan malah ramai yang gulung tikar kerana tidak mampu pulih kembali," katanya ketika ditemui dalam program penyerahan makanan asas Amazing Hiking Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tourism Malaysia Kelantan di Kampung Sungai Rual, Jeli hari ini.

Enggan membiarkan perkara itu berlanjutan, Hafiz berkata pihaknya kini sedang rancak mempromosikan pelancongan domestik memandangkan sempadan negara masih belum dibuka.

"Pelbagai inisiatif dijalankan sebagai dorongan bagi membantu pemain industri pelancongan untuk terus bertapak dan antaranya mengadakan perbincangan di alam maya secara berterusan.

"Kami mengadakan perbincangan dalam talian dengan pemain industri pelancongan bagi mendapatkan langkah terbaik untuk membantu mereka dan sebaik mendapat penyelesaian, kami akan segera melaksanakannya.

"Di Pantai Timur, ramai pengusaha pulau yang terjejas teruk dan dalam menangani masalah ini, kami perlu membantu mereka dalam mempromosikan pelancongan domestik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:00 PM