ISMADI (dua kiri) berharap kerajaan dapat menghidupkan kembali industri selam skuba sepanjang tempoh PKPB. FOTO ihsan Ismadi Ismail
ISMADI (dua kiri) berharap kerajaan dapat menghidupkan kembali industri selam skuba sepanjang tempoh PKPB. FOTO ihsan Ismadi Ismail
Zatul Iffah Zolkiply


PENGUSAHA dan operator selam skuba di Kuala Terengganu melahirkan kebimbangan selepas terpaksa mengambil keputusan perit menghentikan operasi susulan impak Covid-19 terhadap industri pelancongan negara.

Mereka bukan saja hilang punca pendapatan, malah ada yang mula mencongak nasib yang bagaikan telur di hujung tanduk dan hanya menunggu masa gulung tikar kerana menanggung kerugian.

Pengusaha pusat selam skuba Raja Laut, Ismadi Ismail, 44, berkata, rata-rata operator selam skuba dan aktiviti sukan air berharap kerajaan dapat menghidupkan kembali industri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Jurulatih selam skuba itu berkata, mereka bukan mahu mengaut keuntungan semata-mata sebaliknya hanya ingin mengurangkan kerugian yang ketika ini sudah pun berlaku.

Katanya, pihaknya yakin sekiranya kerajaan dapat merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat untuk mereka meneruskan operasi, ia setidak-tidaknya dapat membantu mereka kembali bernafas.

"Kami sudah menutup perniagaan hampir tujuh bulan sejak Monsun Timur Laut (MTL) pada November lalu kerana pulau (di Terengganu) ditutup dan berlanjutan hingga ke hari ini selepas negara dilanda penularan Covid-19.

"Kami hanya ada masa berbaki empat atau lima bulan saja jika mahu meneruskan operasi sebelum MTL kembali pada November tahun ini, justeru kami berharap kerajaan dapat memikirkan sesuatu untuk membantu, meskipun dengan SOP yang ketat," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, pengusaha pusat selam skuba, Tengku Anas Putera Tengku Musaidin, 37, berkata, kerajaan diminta mempertimbangkan bantuan sebagaimana kerajaan Sabah membenarkan pelancongan domestik dengan mengehadkan pelancong dalam kalangan warga tempatan saja.

"Ketiadaan pelancong asing menjejaskan kami, begitu pun apa salahnya jika pelancongan domestik dibenarkan asalkan mematuhi SOP ditetap kerajaan dan tiada pergerakan rentas negeri dibenarkan.

"Pembukaan industri ini juga membuka jaringan industri pelancongan lain seperti restoran, pengusaha bot, chalet dan resort selain perkhidmatan pengangkutan.

"Kami perlu beroperasi semula, setidak-tidaknya dapat mengurangkan kerugian yang perlu ditanggung terutama kos operasi perniagaan, gaji pekerja dan sewa," katanya.

Pada 16 Mei lalu, kerajaan membenarkan agensi pelancongan memulakan operasi tetapi terhad kepada urusan pentadbiran, kewangan dan penjualan, bagaimanapun aktiviti pelancongan masih dalam senarai terlarang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 6:21 PM