Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. FOTO IHSAN JBPM
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI maut manakala rakannya parah selepas Proton Iswara dipandu bertembung dengan sebuah van di Jalan Yan Kechil berhadapan Hospital Yan dekat Yan, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Sirajuddin Shukor, 25, maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Anas Muhamad Arash Johari, 22, cedera pada muka.

Sementara pemandu van Ford Econovan berusia 65 tahun patah kaki.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 2.15 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila van berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Singkir menghala ke Guar Chempedak.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Iswara dinaiki dua mangsa terbabit dipercayai cuba memotong kenderaan lain di hadapan, tetapi gagal.

"Akibat itu, kereta terbabit memasuki laluan van berkenaan menyebabkan berlaku perlanggaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu kereta Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Yan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.25 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Dr Rosdi Mat Yusoff bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dikejarkan ke lokasi.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 8:24 PM