GAMBAR arkib NSTP. FOTO Eizairi Shamsudin
GAMBAR arkib NSTP. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Roji Kawi


JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak meluluskan kapasiti penuh penumpang untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan sebaliknya berkuat kuasa hari ini.

Langkah itu antara pendekatan diambil bagi membolehkan syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang yang terlalu tinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menteri Pengangkutan negeri Datuk Lee Kim Shin berkata, ketika ini ramai yang terbeban berikutan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching mencecah RM2,100 manakala dari Kuala Lumpur ke Miri pula berharga RM2,366.

Beliau berkata, berikutan harga yang terlalu tinggi itu, ramai yang terpaksa membatalkan hasrat bergerak ke destinasi di Semenanjung dan sebaliknya.

Justeru, katanya, dengan peningkatan kapasiti penumpang penerbangan hingga 100 peratus selain meningkatkan kekerapan penerbangan, syarikat penerbangan dijangka dapat menurunkan kadar tambang seperti sebelum penguatkuasaan PKP.

"Dalam tempoh PKP, kapasiti penumpang yang dibenarkan oleh JPBN Sarawak dihadkan kepada 66.6 peratus sahaja manakala kekerapan penerbangan pula dikurangkan.

"Ini membuatkan syarikat penerbangan terpaksa meletakkan harga tiket yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas dengan wakil syarikat penerbangan dan agensi yang berkaitan dengan industri penerbangan di negeri ini, hari ini.

Lee berkata, bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi domestik, kerajaan Sarawak juga berharap semua syarikat penerbangan akan meneruskan kekerapan penerbangan seperti sebelum PKP.

"Keputusan membenarkan kapasiti penuh penumpang itu dibuat selepas JPBN mempertimbangkan pelbagai faktor antaranya situasi Covid-19 di negeri ini yang semakin pulih serta keperluan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi domestik terutama sektor pelancongan.

"Selain itu, penurunan kadar tambang dan meningkatkan kekerapan penerbangan akan memudahkan pergerakan barang dan individu untuk urusan perniagaan, tugas rasmi serta urusan peribadi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 5:59 PM