ABDULLAH (kiri) bersama Azmir pada pelancaran Laporan Industri pertama MAVCOM dikenali sebagai Waypoint, semalam.
ABDULLAH (kiri) bersama Azmir pada pelancaran Laporan Industri pertama MAVCOM dikenali sebagai Waypoint, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan purata harga tiket penerbangan yang akan ditawarkan kebanyakan syarikat penerbangan tahun ini adalah lebih rendah.

Ini berikutan wujudnya lebih banyak syarikat penerbangan baru selain laluan baru diperkenalkan dan peningkatan kekerapan penerbangan.

Ketua Pegawai Operasi Mavcom, Azmir Zain berkata, persaingan dalam kalangan syarikat penerbangan dilihat semakin sengit menyebabkan strategi yang dijalankan juga perlu dipelbagaikan khususnya berkaitan tambang yang ditawarkan.

“Secara purata, kadar tambang atau harga tiket yang dikenakan akan terus mencatatkan trend menurun dan ia akan berterusan sepanjang tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, walaupun harga tiket ditawarkan lebih rendah, pendapatan yang diperoleh syarikat penerbangan kekal mendatar pada tahun ini.

“Walaupun lebih banyak penumpang pada tahun ini, namun pendapatan syarikat penerbangan tidak menunjukkan sebarang peningkatan kerana kapasiti perlu dipertingkatkan.

“Tambang untuk laluan antarabangsa menunjukkan penurunan lebih tinggi berbanding laluan domestik,” katanya pada pelancaran Laporan Industri pertama MAVCOM yang dikenali sebagai Waypoint, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Jeneral Tan Sri Abdullah Ahmad.

Waypoint bertujuan memberi gambaran keseluruhan mengenai industri penerbangan di Malaysia, berserta ulasan mengenai isu semasa yang memberi kesan kepada sektor ini.

Azmir berkata, berdasarkan laporan berkenaan, MAVCOM menjangkakan pertumbuhan trafik penumpang pada tahun ini adalah pada kadar antara 7.8 peratus dan 8.8 peratus iaitu sekitar 98.3 juta hingga 99.2 juta penumpang.

“Ini berikutan permintaan lebih tinggi terhadap pengangkutan udara memandangkan purata tambang menyusut dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini khususnya laluan antarabangsa.

“Malah, syarikat penerbangan juga dijangka meningkatkan kapasiti sebanyak 14.3 peratus tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 8:35 AM