Samadi Ahmad

Putrajaya: Pengunjung pusat beli-belah Alamanda, di sini, gempar apabila seekor babi hutan dewasa menceroboh masuk premis berkenaan.

Dalam kejadian 12.38 tengah hari tadi, video haiwan liar itu yang berada di dalam kedai menjual peralatan sukan sempat dirakam pengunjung yang berada di pusat beli-belah itu sebelum tular di media sosial.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran haiwan liar itu sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, seramai lapan anggota bomba bersama dua jentera dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke pusat beli-belah itu untuk memberi bantuan.

Katanya, setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati babi hutan itu masih berlegar-legar di dalam sebuah premis menjual pakaian dan peralatan sukan.

BABI hutan yang menceroboh masuk pusat beli belah. FOTO ihsan bomba
BABI hutan yang menceroboh masuk pusat beli belah. FOTO ihsan bomba

"Anggota bomba berjaya menghalau haiwan liar itu keluar dan menuju ke arah padang ragbi berdekatan pusat beli-belah berkenaan.

"Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurut sumber, haiwan liar itu dipercayai tersesat dan memasuki pusat beli-belah itu.

Setiap Ahad, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan operasi menembak babi hutan bagi memantau kehadiran haiwan liar itu di pusat pentadbiran kerajaan selain memastikan keselamatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 3:23 PM