Saipul Adli Mohamad; Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


TERTEKAN, keganasan rumah tangga, kehilangan kerja serta kebimbangan mengenai Covid-19 antara aduan orang ramai menerusi perkhidmatan kaunseling dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang negara dilanda wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sentiasa meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental dengan kerjasama bersama agensi lain secara digital.

Menurutnya, talian sokongan dan kaunseling secara virtual diberikan kepada individu yang berdepan dengan pelbagai masalah termasuk emosi, kewangan dan sosial.

"Sehingga kini, pusat panggilan sokongan itu menerima 9,338 panggilan daripada orang ramai dengan diuruskan 148 pegawai psikologi kaunseling KKM.

"Secara dasarnya jumlah pegawai itu tidak mencukupi kerana kita lebih secara nisbah satu kepada 52,000 sedangkan normalnya satu kepada 500.

"Pelbagai isu dibangkitkan dan ada yang telefon disebabkan kebimbangan mereka terhadap Covid-19 dan kita gunakan peluang ini untuk menerangkan maklumat terkini," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, KKM memberi platform bagi membolehkan rakyat menggunakan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental dan berharap lebih ramai rakyat menggunakan perkhidmatan itu secara dalam talian.

Menurutnya, jika perlu KKM akan menasihatkan pemanggil untuk dirawat di hospital selepas sesi kaunseling.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:20 PM