Stuart Milne ketika menyumbang dana sebanyak RM599,750 bagi menjayakan PROKENS.
Stuart Milne ketika menyumbang dana sebanyak RM599,750 bagi menjayakan PROKENS.
Faliqah Alia Radin Mohd


MAJLIS Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama HSBC Bank Malaysia melancarkan Program Latihan Kemahiran Kebolehpasaran Kerja (PROKENS) untuk membantu belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program ini adalah inisiatif MBM yang disokong penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melatih dan meningkatkan kebolehpasaran anak muda mendapatkan pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, pihaknya akan membantu golongan muda memperoleh kemahiran baru atau memperbaiki kemahiran sedia ada untuk mendapatkan pekerjaan bagi kelangsungan hidup.

"Program ini adalah inisiatif di bawah tunjang kelestarian korporat kami iaitu Kemahiran Masa Depan.

"Kami percaya ia dapat menangani isu pekerjaan dalam kalangan belia dan memainkan peranan penting dalam mengurus impak kesan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

HSBC Bank Malaysia sudah menyumbang dana sebanyak RM599,750 bagi menjayakan PROKENS.

"Kos sepanjang latihan akan ditanggung oleh MBM daripada sumbangan itu bagi yang belia yang terpilih.

"Sumbangan HSBC Bank Malaysia terhadap PROKENS menandakan komitmen kami untuk membantu komuniti setempat mengembangkan potensi mereka," katanya.

PROKENS dijadualkan bermula pada September hingga November depan dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 28 Ogos.

"PROKENS akan membabitkan penyertaan belia mengikut zon iaitu Zon Tengah (Selangor, KL, Putrajaya); Zon Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan); Zon Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak) dan Zon Borneo (Sabah, Labuan, Sarawak).

"Program ini juga akan diluaskan ke semua negeri pada masa depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 11:36 AM