WAN Ahmad Fayhsal (tengah) bergambar bersama Husain (dua dari kiri) selepas pertemuan di pejabatnya di Putrajaya, semalam. FOTO Yusmizal Dolah Aling
WAN Ahmad Fayhsal (tengah) bergambar bersama Husain (dua dari kiri) selepas pertemuan di pejabatnya di Putrajaya, semalam. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Putrajaya: Pelbagai inisiatif disediakan kerajaan bertujuan membantu golongan belia terkesan akibat penularan Covid-19 di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya memastikan setiap agensi proaktif dalam melaksanakan agenda pembangunan belia walaupun menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik itu.

Beliau berkata, sebagai contoh, Skim Perantisan Nasional antara program Kolaborasi Rentas Kementerian antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia yang memberi jaminan pekerjaan dan membantu kebolehpasaran belia pasca Covid-19 melalui peningkatan kemahiran.

"Dalam Belanjawan 2021, kita boleh lihat 50 inisiatif untuk belia termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, latihan kemahiran serta bimbingan keusahawanan.

"Kementerian dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan rakan strategik, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) melaksanakan platform myGIG untuk meningkatkan pembabitan belia dalam ekonomi gig atau ekonomi perkongsian bagi menjana pendapatan, sama ada secara sambilan atau kekal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit di pejabatnya, semalam.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, program myGIG itu memperkenalkan peluang pekerjaan baharu secara digital untuk belia berkemahiran dalam bidang seperti pembangunan laman web dan aplikasi, pereka grafik, perunding, penulis dan perakaunan.

Beliau berkata, sejak tahun lalu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melatih Agropreneur Muda terutama untuk pertanian bandar bermula di Kuala Lumpur.

"Kami melahirkan usahawan muda melalui modul latihan dalaman manakala Institut Kemahiran Belia Negara mempunyai Makerspace iaitu Mybizhub@ILKBS, Program Bootcamp, serta modul dalaman untuk melahirkan TVETpreneur.

"Melalui kolaborasi dengan rakan strategik, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), kementerian melancarkan program MyPreneur bagi melatih lebih ramai usahawan belia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 6:00 PM