Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Empat kereta mengalami kerosakan selepas garaj terbakar ketika pemiliknya sedang tidur di rumah masing-masing di Bandar Sunggala, di sini, awal pagi tadi.

Menurut mangsa, Jamariah Kadir, 58, kejadian jam 3.30 pagi itu memusnahkan empat kenderaan membabitkan masing-masing sebuah van jenis Econovan, Proton Iswara, Proton Wira dan Perodua Myvi.

"Saya terjaga pada jam 3.30 pagi selepas terbau sesuatu yang hangit di luar rumah dan ternampak api di tepi van milik suami yang sering digunakan untuk berniaga di pasar malam.

"Ketika itu, saya segera mengejutkan suami, anak serta menantu sebelum mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang kerana bimbang api melarat ke rumah kami yang jaraknya hanya tiga meter," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, van milik suaminya itu musnah manakala tiga kenderaan lain rosak akibat bahang api daripada van yang terbakar.

"Proton Iswara milik suami, Proton Wira milik menantu dan Perodua Myvi kepunyaan jiran rosak di sebelah kanan akibat bahang api yang kuat.

"Turut musnah barangan kami berniaga di pasar malam dengan anggaran jumlah kerugian RM20,000," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.58 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota termasuk bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson.

"Kebakaran membabitkan sebuah garaj kereta dan terdapat empat kenderaan terbakar termasuk sebuah van jenis Econovan yang musnah 100 peratus, Perodua Myvi 50 peratus terbakar dan dua kenderaan lain (Proton Iswara dan Proton Wira) yang rosak akibat bahang api," katanya.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dan api dapat dikawal setengah jam kemudian.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:02 PM
KEADAAN van yang musnah dalam kebakaran membabitkan tiga lagi kereta selepas garaj kereta terbakar di Bandar Sunggala, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN van yang musnah dalam kebakaran membabitkan tiga lagi kereta selepas garaj kereta terbakar di Bandar Sunggala, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria