Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) ketika membuat kunjungan ke rumah seorang veteran anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Abdul Zahid Said (dua dari kanan) di Kampung Suang Parai, Menggatal, hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) ketika membuat kunjungan ke rumah seorang veteran anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Abdul Zahid Said (dua dari kanan) di Kampung Suang Parai, Menggatal, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KEMENTERIAN Pertahanan sedang mencari dan mengenal pasti kira-kira 30,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen yang belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta veteran berkenaan supaya mendaftar dengan JHEV bagi membolehkan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) disalurkan.

"Kita minta mereka (veteran) daftar segera sebab kalau tidak (berdaftar), kita tidak dapat bagi bantuan walaupun kerajaan menyediakan bantuan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan sempena Program Cakna Veteran ATM di Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bantuan PRIHATIN yang diumumkan kerajaan pada April lalu menyediakan bantuan one-off RM500 kepada veteran berpencen dan yang tidak berpencen sehingga September ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 80,000 veteran ATM yang tidak berpencen berdaftar dengan JHEV ATM.

Di negeri Sabah terdapat kira-kira 16,000 veteran ATM dan yang belum berdaftar dengan JHEV.

Ismail Sabri, berkata antara faktor yang menyebabkan veteran itu tidak berdaftar disebabkan tinggal jauh di kawasan pedalaman selain tidak mengetahui maklumat berkenaan.

"Oleh sebab itu kita minta persatuan veteran supaya mengesan veteran ini kerana di setiap daerah dan kawasan ada persatuan veteran," katanya.

Mengenai lawatan itu, Ismail Sabri berkata ia sebahagian program cakna yang dilaksanakan sepanjang masa bagi membantu veteran yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, dalam lawatan itu bantuan wang daripada kutipan Kempen Tabung Pahlawan selain makanan turut diberikan kepada veteran Abd Zahid Said.

Sementara itu, Abd Zahid, 35, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat berterima kasih dengan keprihatinan kementerian melawat ke kediamannya di sini.

Berasal dari Semporna, beliau berkhidmat di TLDM selama 13 tahun sebelum berhenti pada 2017 kerana perlu menjaga isterinya yang menghidap kanser tiroid selain lima anak berusia antara satu hingga 12 tahun.

Katanya, sejak berhenti daripada TLDM beliau tidak mempunyai pendapatan tetap malah pernah tinggal di dalam khemah selama tiga bulan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.

"Saya amat berterima kasih dengan kedatangan menteri (Ismail Sabri) yang bersedia membantu memberikan bot dan enjin untuk saya mencari rezeki buat keluarga," katanya yang baru berpindah tiga bulan lalu ke kediaman didudukinya sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:36 PM