DZULKARNAIN (duduk kanan) ketika berjumpa Din Iban (duduk kiri). FOTO Mohd Khidir Zakaria.
DZULKARNAIN (duduk kanan) ketika berjumpa Din Iban (duduk kiri). FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


KISAH bekas tentera yang juga mualaf, Mohamad Nor Saifuddin Abdullah, 44, atau lebih dikenali dengan nama 'Din Iban' yang tinggal di khemah di Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson sejak lima tahun lalu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Terbaru, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad melawat Din Iban hari ini, untuk melihat sendiri keadaan bekas askar itu.

Dzulkarnain berkata, pihaknya terpanggil untuk menziarahi Din Iban kerana tertarik dengan sikap tanggungjawabnya sebagai bapa kepada empat anaknya biarpun sudah bercerai dengan isterinya lima tahun lalu.

"Bagi saya kisah Din Iban boleh menjadi contoh, walaupun sudah berpisah dengan isteri, tetapi tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai ayah dan anak.

"JHEV akan terus memantau dan membantu mana-mana bekas tentera terutama yang tidak berpencen," katanya ketika ditemui hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JHEV, Roslan Mat Nong dan Pengarah JHEV Negeri Sembilan dan Melaka, Mejar Norasbi Said.

Dzulkarnain berkata, terdapat 100,000 daripada 179,000 veteran ATM tidak berpencen belum berdaftar dengan JHEV di seluruh negara.

"Bekas anggota tentera yang tidak berpencen perlu mendaftarkan dengan JHEV untuk memudahkan kami membantu jika ada kesulitan dan banyak bantuan boleh disalurkan terutama membabitkan bantuan dari kerajaan.

"Walaupun tidak berkhidmat sehingga ke pencen tetapi jasa dan keringat mereka sentiasa dihargai, pada masa sama boleh menjadi mata serta telinga kerajaan kerana mereka ini anggota terlatih dan mereka tidak kami abaikan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Nor Saifuddin berkata, dia terharu dengan keprihatinan JHEV dan pelbagai pihak yang melawatnya.

"Saya tak sangka kerana saya berkhidmat separuh jalan (tidak berpencen) tetapi mereka (JHEV) masih menghargai jasa kecil saya yang pernah berkhidmat dalam Tentera Darat dalam Unit Pancaragam di Kor Armour Diraja," katanya.

Berita berkaitan

  • Bekas askar tinggal di khemah demi anak
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 1:58 PM