NORRIMI (kiri) bersama anggota Maritim Malaysia Semporna, menunjukkan rokok seludup yang berjaya di rampas semalam. FOTO ihsan Maritim Malaysia.
NORRIMI (kiri) bersama anggota Maritim Malaysia Semporna, menunjukkan rokok seludup yang berjaya di rampas semalam. FOTO ihsan Maritim Malaysia.
Abdul Rahemang Taiming


TAKTIK sindiket penyeludupan rokok menjadikan sebuah pondok tinggal di perairan Singamata di sini, sebagai transit terbongkar apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Ia susulan kejayaan anggota bot peronda APMM mengesan kehadiran sebuah bot mencurigakan di kawasan perairan itu kira-kira jam 5.30 pagi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot itu memecut laju menuju ke kawasan perairan Singamata, kira-kira 0.5 batu nautika arah utara Pulau Bum Bum.

Beliau berkata, bot berkenaan didapati merapat ke sebuah pondok tinggal dan kelihatan juragannya terburu-buru meninggalkan kawasan itu.

PONDOK tinggal atau pondohon yang dijadikan transit atau tempat penyimpanan sementara rokok seludup dari Filipina. FOTO ihsan Maritim Malaysia
PONDOK tinggal atau pondohon yang dijadikan transit atau tempat penyimpanan sementara rokok seludup dari Filipina. FOTO ihsan Maritim Malaysia

"Hasil pemeriksaan di pondok itu menemukan beberapa bungkusan kotak mengandungi 210 karton rokok seludup pelbagai jenama.

"Kita percaya pondok ini dijadikan sebagai transit rokok seludup dibawa masuk dan dijual di Semporna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norrimi berkata, kesemua rokok terbabit disyaki diseludup masuk dari Filipina membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM39,800.00.

"Barang rampasan kemudiannya dibawa ke jeti Kem Azumi dekat sini, dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 2:31 PM