Wartawan HM


SEBANYAK 500 kenderaan ditahan polis semalam kerana merentas negeri dan memberi alasan mahu balik kampung, kata Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Mereka yang ditahan kerana cuba merentas negeri (di seluruh negara) untuk balik kampung, sudah diarah berpatah balik.

"Jadi mesyuarat (khas menteri-menteri) hari ini memutuskan tindakan kompaun boleh dimulakan oleh pihak polis (ke atas pesalah)," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kesal dengan sikap rakyat yang tidak mengendahkan arahan kerajaan yang menyekat pergerakan rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, sebanyak 146 sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dibuka dan memeriksa 238,500 kenderaan.

"Kita lihat trend ini dan minat orang nak balik kampung itu, maknanya masih ramai seolah-olah tidak berminat mematuhi SOP yang disediakan.

"Walaupun kita kata jangan balik kampung, tolong jangan balik kampung untuk rentas negeri, masih juga berlaku," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak akan berlembut dalam hal itu dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar SOP, selepas ini.

Katanya, fasa menggunakan budi bicara dan nasihat serta amaran yang diamalkan sejak semalam akan ditambah dengan kompaun.

"Saya harap tak perlulah (anda) sampai dikompaun, duit bayar kompaun itu boleh guna untuk perkara lain. Yang penting patuh arahan dikeluarkan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 2:35 PM