AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS
AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS
Mohd Roji Kawi


PETRA JAYA: Seramai 2,197 atau 86 peratus daripada 2,554 kontak rapat kes positif Covid-19 di Sarawak berjaya dikesan dengan 16 daripada mereka diuji positif.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jawatankuasa Bertindak (Pengesanan Kontak) yang diketuai bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim, kini sedang berusaha mengesan 357 lagi kontak rapat yang dikenal pasti itu.

"Kita percaya ada antara mereka sudah keluar dari Sarawak, namun kita tetap berusaha mengesan mereka.

"Mereka itu perlu menjalani ujian saringan dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Samarahan kini bertukar status daripada kawasan kuning kepada kawasan hijau selepas tidak mencatatkan kes positif sepanjang 14 hari ini.

Ia sekali gus meningkatkan kawasan hijau kepada 35 daerah manakala kawasan kuning pula lima daerah.

Daerah masih lagi dikategorikan sebagai zon kuning ialah Kuching, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian.

Selain itu, Uggah berkata, Sarawak tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kes positif kekal 544 kes.

"Ini bermakna, sudah tujuh hari berturut-turut Sarawak tidak merekodkan kes baharu.

"Dua kes dilaporkan sembuh hari ini dan sudah di discaj dari hospital iaitu masing-masing dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Sibu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 6:04 PM