GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Baharom Bakar


SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan semua rakyat negeri itu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Tuanku bertitah, rakyat diminta terus berada dalam rumah dan sentiasa menjaga kebersihan diri bagi membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

"Beta difahamkan, pengorbanan dan perkhidmatan diberikan petugas barisan hadapan serta kepatuhan rakyat kepada arahan pihak berkuasa, wabak Covid-19 di negeri ini dapat di kawal sepenuhnya.

"Beta dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan penghargaan terima kasih atas pengorbanan dan khidmat bakti pasukan barisan hadapan melaksanakan amanah sehingga wabak Covid-19, dapat dikawal sepenuhnya," titahnya melalui perutusan sempena Aidlfitri Tahun 1441 Hijrah.

Sultan Mizan bertitah, walaupun wabak Covid-19 di Terengganu berjaya dikawal, tetapi rakyat diminta mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh larangan PKPB.

Sultan Mizan bertitah, sambutan Aidilfitri tahun ini amat berbeza, solat sunat hari raya di masjid dan surau tidak dibenarkan, aktiviti ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung dihadkan.

Titahnya, tiada lagi salam bersalaman dan tiada lagi majlis rumah terbuka yang menghidangkan juadah pelbagai rasa dan warna disebabkan wabak Covid-19, yang bukan sahaja melanda negara, malah di seluruh dunia.

"Tetapi suasana itu bukanlah penyebab untuk rakyat tidak meraikan kerana Aidilfitri adalah hari kebesaran umat Islam, yang perlu disambut dengan bertakbir dan bertahmid memuji keagungan Ilahi selain hari umat Islam merayakan kejayaan selepas dapat menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan.

"Sambutlah Aidilfitri mengikut lunas ditetapkan syarak supaya amal ibadat dilakukan sepanjang Ramadan menjadi lengkap dan sempurna selain hindarkan diri daripada melakukan perkara dilarang termasuk pembaziran dan bermewah," titahnya.

Sultan Mizan turut menitahkan seluruh rakyat terus bersabar dan perbanyakan berdoa ke hadrat Allah dalam menghadapi ujian wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 1:24 PM