Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (kiri) hadir meninjau pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Jawi Lebuhraya Utara Selatan di sini. FOTO Danial Saad
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (kiri) hadir meninjau pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Jawi Lebuhraya Utara Selatan di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


POLIS memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak merentas masuk ke Pulau Pinang untuk balik kampung bagi meraikan Aidilfitri tanpa surat kebenaran atau tiada alasan munasabah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, tindakan mereka hanya sia-sia apabila merugikan masa, tenaga, petrol, pembayaran tol dan berkemungkinan berdepan tindakan kompaun.

Menurutnya, ini kerana pihak polis mendirikan 18 sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu masuk sempadan Pulau Pinang bagi mengekang kemasukan orang ramai yang cuba pulang ke kampung halaman di negeri itu.

"Sebanyak 969 anggota terdiri 142 pasukan berada di kesemua SJR untuk membuat pemeriksaan dalam memastikan orang ramai patuh pada arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19.

"Kita beri amaran supaya jangan cuba-cuba untuk masuk apatah tindakan itu hanya akan menyebabkan mereka mengalami kerugian (kerana akan diarah berpatah balik)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan susulan operasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Jawi di Nibong Tebal, hari ini.

Menurutnya, pihak polis mahu memastikan Pulau Pinang terus kekal berada di zon hijau dan mengelak negeri itu dimasuki pembawa virus.

Katanya, setakat semalam, sebanyak 308 kenderaan yang cuba balik ke kampung diarah berpatah balik ke destinasi masing-masing selain sembilan kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang ingkar.

"Kenderaan yang cuba balik kampung itu datang dari arah utara dan selatan dengan memberi alasan untuk pulang beraya. Mereka diarahkan berpatah balik dan bagi yang ingkar dikeluarkan kompaun," katanya.

Dalam pada itu, Sahabudin berkata, pihaknya menerima 8,386 permohonan rentas negeri membabitkan kebenaran terutama suami isteri yang tinggal berjauhan untuk berjumpa seminggu sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 1:54 PM