Gambar fail NSTP.
Gambar fail NSTP.
BERNAMA

PEMATUHAN arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan sekitar Pasar Jalan Othman (PJO) di Petaling Jaya mencapai tahap 99 peratus apabila penduduknya memberikan kerjasama baik serta tidak melanggar arahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kawasan terbabit yang mempunyai penduduk lebih 2,600 orang itu sangat berdisiplin tanpa menimbulkan sebarang masalah mahupun jenayah.

Beliau berkata, aduan yang pihaknya terima hanya berkaitan bantuan makanan dan permohonan keluar bagi kes-kes kecemasan seperti mempunyai temujanji doktor atau mendapatkan rawatan dialisis.

"Tiada sebarang masalah yang ditimbulkan oleh penduduk malah makan minum mereka cukup dan saringan Covid-19 juga telah selesai sejak dua hari lalu.

"Sumbangan makanan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat yang dibantu oleh anggota tentera dan Jabatan Sukarelawan," katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ezanee berkata penduduk di kawasan itu akur dengan perintah yang dikuatkuasakan dan pihaknya kini sedang menunggu arahan seterusnya untuk menamatkan PKPD ini.

"Kami sedang menunggu arahan lanjut untuk membuka semula kawasan PKPD ini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk Pasar Jalan Othman patuh kepada peraturan PKPD dengan tidak menimbulkan sebarang kecurigaan malah mereka tidak keluar dan hanya duduk di rumah.

Sementara itu, anggota polis dan tentera yang bertugas di kawasan itu ketika ditemui juga mengakui tahap pematuhan penduduk yang tinggi itu.

Tinjauan Bernama selama dua hari juga mendapati penduduk di kawasan itu tidak merungut mengenai arahan PKPD yang dikuatkuasakan, selain akur dengan keputusan kerajaan dan kini menunggu agar PKPD ditamatkan.

Kawasan Pasar Jalan Othman dan sekitarnya didapati tidak sibuk dan tidak ramai pengunjung sekali gus menunjukkan penduduk hanya keluar apabila perlu dan sedar mengenai risiko penularan Covid-19 sekiranya tidak serius menanganinya.

Pada Ahad lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman menjadi kawasan terbaharu dilaksanakan PKPD berkuatkuasa sehingga 23 Mei.

Keputusan berkenaan diambil selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 2:34 PM