GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 2,156 individu membabitkan 1,557 individu warga tempatan dan 599 warga asing dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Jalan Othman, di sini, melakukan ujian saringan sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ujian saringan di Zon A, B dan C sudah selesai 100 peratus dan sedang menunggu keputusan saringan.

"Sebanyak 1,300 keputusan saringan sampel Covid-19 diterima dan hanya seorang individu didapati positif.

"Pesakit adalah seorang wanita tempatan berusia 28 tahun dan mempunyai kontak rapat dengan empat ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pesakit itu sudah dibawa ke pusat kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, manakala empat ahli keluarganya pula masih menunggu keputusan ujian saringan.

"Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan PKPD Pasar Jalan Othman di talian 013-2666165 yang beroperasi 24 jam.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penduduk yang terbabit dengan PKPD supaya terus bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi terbabit.

"Bagi orang ramai yang tidak terbabit dengan PKPD dikehendaki terus mematuhi Peraturan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 4:57 PM