ROSOL (dua kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke HDA Poultry Sdn Bhd di Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (dua kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke HDA Poultry Sdn Bhd di Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat perbezaan harga ayam antara pasar raya dan pasar utama.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, siasatan secara menyeluruh mengenai perbezaan harga ayam perlu dilakukan bagi memastikan punca keadaan itu sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

"Mengapa pasar raya boleh jual ayam dengan harga antara RM8 dan RM8.70 sen sekilogram sedangkan harga antara RM8.90 dan RM9.50 di beberapa pasar utama.

"Kita akan siasat macam mana boleh berlaku perbezaan harga sedangkan pemilik pasar raya dan peniaga di pasar utama mendapat bekalan daripada pemborong sama," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke HDA Poultry Sdn Bhd di Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kerajaan memberi amaran untuk melaksanakan harga siling ayam sekiranya pembekal serta peniaga terus menaikkan harga bahan mentah itu tanpa sebab munasabah.

Beliau berkata, kerajaan menerima rungutan masyarakat mengenai kenaikan harga ayam di pasaran yang mencecah sehingga RM9.60 sekilogram di pasar awam di Pulau Pinang.

"Kerajaan akan mencari jalan untuk mengatasi masalah kenaikan harga ayam termasuk mengadakan perbincangan bersama pihak industri bagi meneliti semua aspek seperti kos penternakan yang dikatakan menjadi punca pembekal menaikkan harga.

"Saya difahamkan daripada pihak industri, kenaikan harga ayam disebabkan bekalan anak ayam kurang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Rosol memberi jaminan kerajaan akan menyelesaikan segera isu kenaikan harga ayam awal bulan depan sebagai persiapan umat Islam menyambut Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 3:59 PM