Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS berjaya menahan seorang lelaki dipercayai warga asing ketika cuba melarikan diri dari kawasan diperketatkan kawalan di Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan dikatakan memanjat pagar kawat duri dipasang dan keluar ke sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk mengelak menjalani ujian saringan Covid-19.

Tinjauan wartawan di lokasi melihat lelaki itu berlari masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan sebelum ditahan anggota polis bertugas.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Lim berkata, warga asing yang tinggal di kawasan itu kelihatan resah apabila melihat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula meletakkan pagar kawat duri.

"Mereka tahu jika kawasan itu dikepung, mereka tidak dapat melarikan diri.

"Malah kebelakangan ini, orang ramai di media sosial sering berkongsi mengenai tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang giat memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) membuatkan mereka (warga asing) resah," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

LELAKI warga asing yang cuba melarikan diri dari kawasan diperketatkan kawalan di Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur, hari ini, berjaya ditahan anggota polis bertugas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
LELAKI warga asing yang cuba melarikan diri dari kawasan diperketatkan kawalan di Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur, hari ini, berjaya ditahan anggota polis bertugas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Difahamkan penghuni di kawasan sekitar Jalan Pudu membabitkan Jalan Landak, Jalan Pasar dan Jalan Brunei berbaris seawal jam 10 pagi untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian pakaian perlindungan diri (PPE) turut membuat bancian dengan memeriksa setiap premis di kawasan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kawasan di Jalan Pasar Pudu diperketatkan dari segi pentadbiran namun tidak diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebelum ini, Chow Kit dan Selayang pernah diklasifikasikan sebagai kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran, iaitu aktiviti pergerakan keluar masuk di kawasan berkenaan dihadkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 5:37 PM