Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memanggil penduduk Jalan Pudu, Kuala Lumpur, mengikut nombor pendaftaran yang diberikan bagi melakukan saringan.

Tinjauan Harian Metro mendapati proses saringan berkenaan bermula pada jam 10 pagi dilakukan mengikut turutan nombor pendaftaran.

Rata-rata mereka akur dengan arahan yang diberikan oleh petugas kesihatan demi mengenal pasti tahap terkini kesihatan mereka selepas tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dilaksanakan.

Penduduk, Hong Wee, 43 berkata, dia dan ahli keluarganya sudah disaring sejak semalam.

"Saya bersama keluarga disaring oleh KKM beberapa hari lalu dan kini, kami patuh dengan arahan yang dikuatkuasakan serta menunggu agar kawasan ini dibuka semula.

"Kami kini sedang menunggu keputusan dari makmal yang dijangka seminggu lagi dan berharap semuanya sihat dan tidak dijangkiti," katanya.

ANGGOTA polis dan petugas kesihatan memanggil penduduk yang masih belum melakukan ujian saringan. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA polis dan petugas kesihatan memanggil penduduk yang masih belum melakukan ujian saringan. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, jurucakap pberkata, kadar pematuhan penduduk di Jalan Pudu mencapai tahap 90 peratus.

Katanya, rata-rata penduduk yang terdiri dalam kalangan warga tempatan dan warga asing itu mematuhi arahan kawalan diperketatkan secara pentadbiran tanpa sebarang masalah ditimbulkan.

Terdahulu, pemasangan pagar kawat duri dilakukan dari D'Majestic Place hingga ke persimpangan Jalan Pasar/Jalan Pudu dan Jalan Landak oleh ATM pada Jumaat lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Jalan Pasar Pudu tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebaliknya kawalan secara pentadbiran.

Katanya, walau bagaimanapun penduduk kawasan itu masih dibenarkan keluar memberi barangan keperluan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 2:00 PM