ORANG ramai memilih menunggu kedai gunting rambut dibuka. FOTO Arkib NSTP
ORANG ramai memilih menunggu kedai gunting rambut dibuka. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


TUNGGU kedai gunting rambut buka menjadi pilihan orang ramai berdasarkan undian dimuat naik di Facebook (FB) dan Twitter Harian Metro.

Dalam undian bertajuk 'Memandangkan kedai gunting rambut masih belum dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Satu hingga kini, adakah anda memilih untuk memotong rambut sendiri atau sanggup menunggu sehingga ia dibenarkan beroperasi?', sebanyak 59 peratus daripada 62,000 pengundi memilih menunggu kedai gunting rambut dibuka manakala 41 peratus pula memilih memotong sendiri rambut mereka.

Sementara itu, undian di Twitter menyaksikan sebanyak 54 peratus daripada 1,120 pengundi memilih menunggu kedai gunting rambut beroperasi manakala 46 peratus lagi mengundi memotong sendiri rambut.

Seorang pembaca, Ibno Ayop berpendapat berdasarkan keadaan semasa, orang ramai tidak perlu panik untuk memotong rambut sendiri.

"Yang gelabah nak potong rambut buat apa. Sekali-sekala dalam hidup kita tengok rambut panjang macam mana pula.

"Jagalah elok-elok, syampu semua siap. Jangan tinggal macam hutan belantara pula. Mesti segak," katanya.

Farra Adrian pula berpendapat adalah lebih mudah memotong sendiri rambut daripada mengambil risiko melakukannya di kedai gunting.

"Rambut anak, ayah dan suami termasuk diri sendiri, semua saya potong sendiri. Senang. Tak berani ambil risiko pergi kedai gunting rambut buat masa ini," katanya.

Seorang lagi pembaca, Suhana Suparman berkata, memotong sendiri rambut adalah lebih mudah dengan menggunakan mesin.

"Potong sendiri senang. Rambut anak dan suami, semuanya potong sendiri, beli mesin sahaja siap dan mudah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 8:25 PM