TUKANG gunting rambut, Yunos mencukur rambut pelanggan dipremisnya di Jalan Aji Segamat. FOTO Ahmad Ismail
TUKANG gunting rambut, Yunos mencukur rambut pelanggan dipremisnya di Jalan Aji Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Orang ramai terutama golongan lelaki dewasa 'menyerbu' kedai gunting rambut, hari ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan mulai, tengah malam ini.

Tinjauan mendapati mereka sanggup menunggu di luar premis bagi memastikan rambut dirapikan kerana bimbang PKP akan dilanjutkan melebihi 14 hari.

Pekerja swasta, Hearry Johari, 33, berkata dia sanggup tidak bersarapan untuk menunggu giliran duduk di sebuah kedai kopi bersebelahan kedai gunting rambut bagi memastikan rambutnya digunting pendek.

"Perlu gunting rambut hari ini, bimbang PKP 2.0 dilaksanakan mulai esok akan berlarutan beberapa minggu dan tidak hanya dua minggu sehingga 26 Januari seperti diumumkan.

"Saya tidak mahu kejadian rambut mengerbang tidak terurus berulang lagi ketika PKP pada Mac lalu.

"Apabila kerajaan memutuskan premis gunting rambut tidak boleh beroperasi, saya segera mencari kedai gunting yang kerap dikunjungi," katanya.

Pesara guru, Tan Chee Khoon, 63, tidak ketinggalan turut membawa dua cucunya berusia tujuh dan sembilan tahun berbuat demikian kerana merasakan ia seolah-olah hal 'wajib' yang harus ditunaikan segera.

"Saya pergi ke empat kedai, tetapi semuanya padat dengan pelanggan dan ia membuktikan ramai golongan lelaki menyimpan hasrat memotong rambut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 8:51 PM