GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


MANGSA buli siber berkemungkinan menjadi pembuli sekiranya berterusan menerima tekanan sekeliling dan tidak mengambil langkah menanganinya.

Demikian pandangan Pakar Perunding Kanan Psikiatri Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) merangkap Pengarah Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin ketika diminta berkongsi kesan mangsa buli siber daripada sudut psikologi.

Dr Amer berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya mangsa merasakan dirinya tidak mendapat sokongan.

"Sebaliknya, mangsa melihat pembuli mendapat kekuatan daripada tindakan dilakukan.

"Akhirnya, dia yang terjebak menjadi pembuli, kemungkinan bukan untuk membalas dendam tetapi mendapat kekuatan diinginkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, kesan lain dihadapi mangsa buli siber ialah kegelisahan, masalah tidur, perasaan takut dan trauma berikutan ugutan keterlaluan yang diterima.

Katanya, jika tidak ditangani dengan baik, mangsa akan tertekan hingga kemurungan dan paling membimbangkan bertindak mencederakan diri sendiri serta melakukan cubaan membunuh.

"Kesan ini berpunca daripada ugutan diterima mereka secara lisan, hantaran memalukan atau dijadikan bahan jenaka di laman sosial (troll).

"Ini belum termasuk ugutan jenayah seperti mahu merogol dan membunuh mangsa serta lain-lain lagi yang melampaui batas.

"Sekiranya pelaku tidak berniat jahat sekalipun, tindakan itu tetap memberi kesan yang menjejaskan emosi dan kesihatan mental mangsa lebih-lebih lagi jika diserang oleh banyak pihak pada satu-satu masa," katanya.

Dr Amer tidak menolak faktor banyak masa terluang dan tekanan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang kepada perbuatan buli siber.

Bagaimanapun, Dr Amer berkata, faktor itu bukan alasan kerana perbuatan buli siber tidak sewajarnya berlaku atau menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

"Kita lihat dan menganggarkan kegiatan buli siber ini semakin rancak dalam tempoh PKP kerana orang ramai punya banyak masa untuk melayari Internet terutama di platform laman sosial .

"Malah, tanpa sedar mereka menjadi pembuli siber kerana meninggalkan komen negatif atau berkongsi maklumat tidak dipastikan kesahihannya.

"Dalam hal ini, sesiapa pun boleh menjadi mangsa buli siber begitu juga pembuli tanpa mengira peringkat umur atau latar belakang," katanya.

Beliau berkata, jika kecaman diterima tidak begitu serius, mangsa boleh mengambil langkah mengabaikannya tetapi perlu melaporkan kepada polis jika menerima ancaman berunsur jenayah bersama dengan bukti seperti paparan tangkap layar.

Katanya, mangsa juga boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) selain mendapatkan khidmat kaunseling.

"Seseorang boleh mengelak daripada menjadi mangsa dengan memikirkan implikasi jika memuat naik sesuatu gambar atau hantaran di laman sosial .

"Manakala, mereka yang mahu menegur pula perlu tahu caranya supaya tidak keterlaluan hingga mengaibkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 8:46 PM