NORHAYATI MD JUSOH
NORHAYATI MD JUSOH
Rosyahaida Abdullah


SETIAP kali menjelang Aidilfitri, dia dan pekerjanya menyediakan 2,000 kotak atau 50,000 balang kuih raya.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengeluaran produk berkenaan terpaksa dikurangkan sehingga 50 peratus.

Pengusaha kuih raya di Sabak Bernam, Selangor, Norhayati Md Jusoh, 54, berkata, dia mengambil langkah menghentikan serta-merta pengeluaran kuih rayanya selepas pemborong mengurangkan tempahan mereka pada tahun ini.

"Ia susulan pengumuman kerajaan yang melarang sebarang penganjuran bazar Ramadan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Menurut Norhayati, dia dan 15 kakitangannya memulakan penghasilan kuih raya itu pada Februari lalu bagi tujuan diedarkan kepada pemborong untuk dijual menjelang Ramadan.

Bagaimanapun katanya, ada pemborong bukan saja mengurangkan malah membatalkan semua tempahan disebabkan bimbang tiada pembeli apatah selepas tiada bazar Ramadan dibuka di seluruh negara.

"Saya tiada pilihan selain menjual secara dalam talian bagi memastikan 400 kotak yang masih ada sekarang dapat dijual sebelum raya nanti," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Norhayati berkata, ketika ini, sudah ada beberapa pihak yang menyatakan keinginan dan tampil membeli baki kuih raya berkenaan daripadanya.

Walaupun menjual pada harga jauh lebih murah, katanya, ia amat melegakannya kerana memperoleh semula modal yang sudah dikeluarkan selain mampu membayar gaji pekerja.

"Selama 20 tahun saya jalankan perusahaan ini dan tidak pernah terfikir wabak ini akan memberi kesan sangat luar biasa," katanya.

Norhayati berkata, dia kini mengalu-alukan sesiapa saja yang mungkin berhasrat melakukan jariah untuk golongan tertentu atau menjana pendapatan sampingan dengan mendapatkan 11 jenis kuih raya yang dihasilkannya.

"Balang saya tiada apa-apa pelekat jadi sesiapa saja boleh jual menggunakan jenama masing-masing. Saya juga tawarkan harga lebih murah untuk pembelian lima kotak ke atas kerana fokus kami adalah untuk pastikan kuih raya ini terjual dan tidak rosak begitu saja," katanya.

Selain tat nenas dan makmur original, sembilan jenis kuih raya lagi yang turut dihasilkan Norhayati termasuklah almond london, red velvet, chocolate brownies dan makmur pandan.

Orang ramai yang berhasrat melakukan pembelian kuih raya Norhayati boleh berhubung dengannya di talian 0133660429 dan melayari laman Instagram @seleradapur_nh untuk melihat variasi kuih raya yang disediakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:29 PM