Nor Amalina Alias


"SETIAP hari mak tanya bila saya nak balik, serba-salah nak jawab tapi akhirnya doa mak termakbul apabila kami diizinkan balik tidak lama lagi."

Begitu kata penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Nur Athirah Zainal, 23, yang terkandas di rumah sewanya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Nur Athirah berkata, ibunya Maznizam Mat Adam, 46, bimbang dengan keselamatan dirinya termasuk makan minum yang tinggal berjauhan apabila negara dilanda wabak Covid-19.

"Mak risau sebab saya tinggal di rumah sewa, jadi dia sentiasa telefon untuk bertanya khabar dan berharap saya balik ke rumah, namun saya beritahu mak kena ikut arahan kerajaan dan universiti.

"Bila akhirnya kami dibenarkan balik, perasaan saya tak dapat digambarkan, tambahan pula dapat berpuasa bersama keluarga," katanya ketika ditemui di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Nur Athirah berkata, dia juga yakin dengan sistem penghantaran yang bakal dilaksanakan kerajaan untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Kluang, Johor.

"Sepanjang PKP, saya dan rakan banyak meluangkan masa membuat latihan dan saya pilih untuk balik kampung kerana ada capaian internet di rumah yang baik, jadi tiada masalah meneruskan pembelajaran dalam talian," katanya.

NUR Athirah (kanan) bersama rakan serumahnya, Fatin Nabilah (kiri) mengemas pakaian sebagai persediaan pulang ke kampung masing-masing selepas lebih sebulan terkandas di rumah sewa mereka di Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NUR Athirah (kanan) bersama rakan serumahnya, Fatin Nabilah (kiri) mengemas pakaian sebagai persediaan pulang ke kampung masing-masing selepas lebih sebulan terkandas di rumah sewa mereka di Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, penuntut semester enam Pengajian Perbankan dan Kewangan Islam Fatin Nabilah Sahri, 23, berkata dia sudah mengemas pakaian dan menunggu arahan universiti bagi penghantaran pulang ke kampung masing-masing.

"Setakat ini kami sudah mengisi borang pergerakan, jadi kami hanya tunggu arahan lanjut daripada pihak UMK.

"Keluarga seronok apabila tahu saya dapat balik. Sebelum ini sedih sebab terpaksa berada di sini, namun kami berterima kasih sebab pihak universiti dan kejiranan banyak bantu bagi makan minum sepanjang PKP," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK, Ahmad Hurairah Mohd Noor berkata, pihaknya mengenal pasti destinasi kampung halaman 1,000 penuntut yang berada di kolej dan rumah sewa.

Katanya, penghantaran pulang akan mengikut empat zon membabitkan 33 bas yang dijangka mula bergerak pada Rabu ini.

"Kita sudah mempersiapkan butiran penuh penuntut dan sebagai langkah keselamatan, mereka terlebih dahulu akan menjalani ujian saringan kesihatan sebelum menaiki bas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 5:51 PM