Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menerima lebih 90,000 permohonan daripada pelajar Tingkatan Satu dan Empat di seluruh negara tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah permohonan itu dibuat oleh pelajar membabitkan 55 MRSM seluruh negara.

"Kita menerima banyak permohonan untuk masuk ke MRSM, namun kita hanya dapat menerima kemasukan sebanyak 7,169 pelajar sahaja memandangkan institusi itu mampu menampung kapasiti berkenaan.

"Selepas ini, kita akan tengok rayuan yang diperoleh (daripada pelajar) bergantung kepada pelajar yang mungkin tidak hadir (jika) kemungkinan mereka sudah mendapat tempat lain.

"Mengikut laporan yang saya terima, biasa akan ada yang menolak untuk pergi ke tempat lain. Maka tempat ini akan diisi oleh rayuan ini.

"Paling penting agenda pertama dalam konteks Mara dan sebagai Pengerusi adalah untuk memperkasakan lagi MRSM sebagai sekolah Ulul Albab dan kedua adalah soal pembangunan usahawan Bumiputera yang perlu kita perkasakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan dan Perjumpaan Pengerusi Mara Bersama Warga MRSM Pengkalan Chepa dan Ketua Pusat Pentadbiran Mara di MRSM Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

ASYRAF Wajdi (kiri) ketika lawatan dan Perjumpaan Pengerusi MARA Bersama Warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa dan Ketua Pusat Pentadbiran MARA di MRSM Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ASYRAF Wajdi (kiri) ketika lawatan dan Perjumpaan Pengerusi MARA Bersama Warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa dan Ketua Pusat Pentadbiran MARA di MRSM Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 5:48 PM