DR NOR AZIMI YUNUS
DR NOR AZIMI YUNUS
Zatul Iffah Zolkiply

TIADA kes baru Covid-19 dalam tempoh 14 hari daripada kes terakhir yang dilaporkan membolehkan lima daerah di Terengganu diisytiharkan sebagai zon hijau.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia membabitkan daerah Hulu Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

Menurutnya, Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan sifar kes Covid-19 setakat ini, manakala empat lagi daerah pula diisytihar sebagai zon hijau secara berperingkat.

"Apabila tiada kes baru dalam tempoh 14 hari, kita boleh katakan wabak Covid-19 di daerah berkenaan sudah berakhir.

"Bagaimanapun, mereka masih perlu memberikan kerjasama dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kita tidak mahu ia bertukar ke zon kuning, jingga atau merah.

"Bagi pihak JKNT, saya mengucapkan tahniah kepada warga Terengganu yang memberikan kerjasama yang baik sehingga berjaya menjadikan daerah mereka zon hijau," katanya ketika ditemui di pejabat JKNT di sini.

Dr Nor Azimi turut menasihatkan penduduk di Terengganu supaya terus mempraktikkan amalan sentiasa membasuh tangan menggunakan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman.

Katanya, masyarakat juga diminta meneruskan penjarakan sosial dan keluar rumah hanya jika mempunyai urusan penting sahaja.

"Kita akan memasuki fasa keempat PKP dalam usaha memerangi Covid-19 dan Insya-Allah, kita akan berjaya jika semua pihak terus memberikan kerjasama yang terbaik.

"Terima kasih dan tahniah kepada pasukan barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan keselamatan yang terus komited dalam menjalankan tugas mereka dalam perjuangan ini," katanya.

Berdasarkan laporan statistik terkini Covid-19 yang dikeluarkan Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu, sebanyak 110 kes positif Covid-19 dilaporkan di Terengganu dengan 54 kes sudah sembuh dan satu kematian direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 5:01 PM