DR Nur Amalina Che Bakri. FOTO Ihsan IG Dr Amalina.
DR Nur Amalina Che Bakri. FOTO Ihsan IG Dr Amalina.
Amir Abd Hamid


PELATIH pakar bedah Kolej Imperial London, Dr Nur Amalina Che Bakri adalah antara doktor yang terbabit dalam kajian keberkesanan vaksin Covid-19 terhadap manusia sihat di United Kingdom (UK).

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu terbabit dalam kajian pertama hasil kerjasama antara Universiti Oxford dan Kolej Imperial London.

Beliau ketika dihubungi Harian Metro menerusi Instagram (IG) hari ini berkata, fasa pertama kajian keberkesanan vaksin berkenaan membabitkan sukarelawan yang sihat berusia antara 18 hingga 55 tahun.

“Peserta ini akan direkrut secara rawak sama ada untuk menerima vaksin atau plasebo. Kemudian akan ada tindakan susulan selama enam bulan terhadap mereka.

“Ini termasuk mengambil sampel darah untuk memahami tindak balas imun atau sistem ketahanan badan mereka sama ada vaksin itu berkesan atau tidak,” katanya.

Dr Nur Amalina berkata, kajian selama enam bulan itu diketuai oleh Profesor Sarah Gilbert (Universiti Oxford) dan Dr Katrina Pollock (Kolej Imperial London).

“Saya terbabit dalam proses merekrut, membuat pemeriksaan ke atas peserta dan memberi mereka vaksin beberapa minggu lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat dua jenis vaksin yang akan diuji ke atas manusia di Kolej Imperial London.

“Sekiranya fasa satu kajian ini berjaya, maka kajian akan diteruskan ke fasa seterusnya,” katanya.

Dr Nur Amalina berkata, terdapat satu lagi vaksin yang sedang dalam proses kajian di Kolej Imperial London diketuai oleh Profesor Robin Shattock dan fasa satu akan bermula Jun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 12:52 PM