GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) mengesyorkan penganjur bazar Ramadan di Kuantan untuk memulangkan semula deposit kepada peniaga susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan penganjurannya sepanjang Ramadan ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK Norkamawati Kamal berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak akan campur tangan dalam urusan pemulangan wang deposit berkenaan.

“Kita hanya mengesyorkan penganjur supaya memulangkan balik wang deposit berkenaan, namun itu terpulang kepada mereka.

“Namun peniaga di enam bazar Ramadan di bawah kelolaan Koperasi Kakitangan MPK (KOSPEK) sudah dipulangkan wang deposit mereka secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, setakat ini terdapat 38 tapak bazar Ramadan di Kuantan dengan membabitkan seramai 2,442 peniaga.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya, hari ini meminta penganjur bazar Ramadan memulangkan semula deposit kepada peniaga.

Beliau menegaskan penganjur sama ada PBT atau pertubuhan perlu akur dengan arahan itu supaya tidak menyusahkan peniaga.

Menurutnya, mereka membayar deposit itu dengan harapan bazar Ramadan akan dibuka, namun kerajaan membuat keputusan tidak membenarkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:32 PM