Noorzainy (kiri) memberi penerangan kepada penganjur bazar Ramadan ketika melakukan pemantauan dan pematuhan SOP di Bazar Ramadan Kepala Batas hari ini. Foto Danial Saad
Noorzainy (kiri) memberi penerangan kepada penganjur bazar Ramadan ketika melakukan pemantauan dan pematuhan SOP di Bazar Ramadan Kepala Batas hari ini. Foto Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Bazar Ramadan di sini dan Penaga dekat sini, diberikan notis amaran apabila pemeriksaan mendapati penganjurannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemantauan yang dijalankan terhadap kedua bazar berkenaan juga mendapati penganjur gagal memberi maklumat lebih tepat kepada peniaga berhubung SOP hingga menyebabkan berlaku kekeliruan.

Berikutan itu, katanya, kedua-dua penganjur diberikan notis amaran oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memberi ruang dan peluang kepada penganjur memperbaiki semula SOP selain memberi taklimat lebih terperinci kepada peniaga mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berniaga.

"Pada awalnya kita melihat kemasukan pengunjung amat cantik ditambah ada yang menggunakan sistem nombor giliran bagi mengehadkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa.

"Namun, malangnya apabila berada di dalam bazar didapati tiada penjarakan fizikal selain ada gerai yang mempunyai lebih dua peniaga.

"Di sini, kita dapati penganjur gagal memberi taklimat kepada peniaga kerana rata-ratanya ada yang tidak tahu," katanya pada sidang media selepas meninjau kedua bazar Ramadan itu di sini, hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan lain yang dikesan adalah pengunjung yang tidak mendaftar QR kod MySejahtera dan mencatat nama yang tidak betul pada buku catatan disediakan serta juga isu pemakaian apron pakai buang oleh peniaga.

"Kita akan membuat pemeriksaan semula di kedua-dua bazar ini esok bagi memastikan penganjur dapat melaksanakan apa yang ditetapkan.

"Jika masih gagal patuhi SOP, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan dan bazar akan diarahkan tutup," katanya.

MBSP sebelum ini meluluskan pembukaan 19 bazar Ramadan termasuk satu bazar Aidilfitri sepanjang Ramadan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 11:21 PM