SULAIMAN Md Ali. FOTO arkib NSTP
SULAIMAN Md Ali. FOTO arkib NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Penganjuran bazar Ramadan di negeri ini akan dibatalkan sekiranya pihak penganjur didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Amaran itu disuarakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali susulan terdapat ketidak patuhan SOP di bazar Ramadan sehingga mencetuskan kegusaran rakyat negeri ini.

Beliau berkata, sekiranya penganjur didapati terus gagal memastikan pematuhan SOP selain pengunjung terus bersesak sehingga tiada penjarakan fizikal maka tindakan akan diambil.

"Kalau masih lagi orang tidak patuhi atau tidak ditambah orang yang menjaga untuk pembeli patuhi SOP, kita tidak teragak- agak ambil tindakan sama ada batal sahaja atau tukar penganjur.

"Saya dimaklumkan sampai terlanggar bahu, mungkin hari pertama Ramadan orang nak dapatkan juadah untuk berbuka tetapi pada saya ini tidak baik kerana kita sudah masjid, surau dan aktiviti lain," katanya.

Menurut beliau, perkara ini juga akan diperhalusi dan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 termasuk bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.

"Pada mesyuarat itu saya akan arahkan untuk menilai semula mana- mana yang tidak patuhi SOP. Contoh di Kelantan tidak benarkan tetapi di Melaka saya benarkan kerana sayangkan rakyat terutama golongan peniaga.

"Saya harap perkara sama tidak berulang lagi kalau berlaku juga kita akan adakan sesuatu supaya kes Covid-19 di Melaka tidak meningkat," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 4:43 PM