DR Muhammad Taufik (kiri) menunjukkan cek yang diterima daripada Setiausaha Majlis Dato-Dato Kurnia Negeri Sembilan (MDDKNS) dalam satu majlis ringkas di USIM Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil
DR Muhammad Taufik (kiri) menunjukkan cek yang diterima daripada Setiausaha Majlis Dato-Dato Kurnia Negeri Sembilan (MDDKNS) dalam satu majlis ringkas di USIM Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


INISIATIF Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membantu anggota barisan hadapan dengan menghasilkan pelindung muka bagi kegunaan mereka, mendapat sokongan dan penghargaan pelbagai pihak.

Penghasilan pelindung muka diketuai Dr Mohd Ifwat Mohd Ghazali adalah menggunakan teknologi mesin cetakan 3 Dimensi (3D).

Majlis Dato-Dato Kurnia Negeri Sembilan (MDDKNS) antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sokongan apabila menyumbang RM8,000 kepada Jemaah Profesor USIM (JPU).

Sumbangan itu bertujuan untuk pembelian tiga unit Mesin Cetakan 3D baharu sebagai tambahan kepada lima unit Mesin Cetakan 3D yang digunakan USIM ketika ini.

Dr Mohd Ifwat berkata, beliau dan pasukannya amat menghargai sumbangan berkenaan kerana tambahan unit mesin itu akan dapat meningkatkan lagi kuantiti pengeluaran pelindung muka.

“Permintaan dan keperluan pelindung muka amat tinggi di hospital dan klinik kesihatan ketika ini terutama kepada petugas barisan hadapan.

“Kami cuba membantu dan memenuhi keperluan itu dengan menyediakannya sebagai satu tanggungjawab sosial universiti.

“Ketika ini mesin sedia ada hanya mampu menghasilkan lima hingga 10 unit sehari dan dengan adanya pertambahan mesin, sudah tentu pengeluarannya dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan MDDKNS kepada JPU yang disempurnakan Setiausaha MDDKNS, Datuk Amiruddin Radzi kepada wakil JPU, Prof Datuk Dr Muhammad Taufik Mohd Nor di USIM, Nilai, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MDDKNS, Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Mohd Ifwat berkata, sehingga kini sebanyak 360 pelindung muka lengkap bersama pelindung plastik pakai buang berjaya disiapkan.

Beliau berkata, barangan berkenaan disumbangkan kepada anggota barisan hadapan yang bertugas di Hospital Ampang, Hospital Tuanku Ja’afar (KTJ) Seremban, Hospital Rembau dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:47 PM