GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yun Mikail


KEDAI tayar serta bengkel kenderaan di Sabah dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 2 petang setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, hanya sebilangan kedai tayar dan bengkel berdaftar di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja dibenarkan beroperasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, kebenaran akan ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

“Selain itu, kedai haiwan peliharaan juga kini dibenarkan beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Pemilik premis boleh membuka perniagaan bermula 8 pagi hingga 2 petang namun jumlah kedai dibenarkan beroperasi tertakluk kepada PBT setiap daerah,” katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, semua langkah berkenaan diambil menerusi keputusan Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, semalam.

Dalam pada itu, Safar memaklumkan kerajaan negeri turut memutuskan tiada sebarang penganjuran pasar tani FAMA di seluruh negeri sepanjang tempoh PKP.

Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan penutupan operasi ladang serta kilang kelapa sawit membabitkan tiga daerah di negeri ini dilanjutkan sehingga 14 April hadapan.

“Tiga daerah berkenaan adalah Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan.

“Kerajaan negeri juga memutuskan untuk menutup operasi ladang dan kilang kelapa sawit di tiga lagi daerah seperti Kalabakan, Semporna dan Kunak berkuat kuasa bagi tempoh sama.

“Penutupan operasi ini tertakluk di bawah peruntukan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 4:49 PM